Info Terkini Portal Rasmi PPD Mersing

Isnin, 4 Mei 2009

PENGAJARAN EFEKTIF ( EFFECTIVE TEACHING )

Oleh : ajax76

1.0 PENGENALAN

Ketika di bangku sekolah, anda tentu pernah mengalami pengajaran guru yang amat menarik dan ada pula yang begitu membosankan. Kalau anda ditanya apakah itu pengajaran efektif, tentu anda akan menyatakan ia adalah pengajaran yang mudah difahami serta menyeronokkan. Ada pula di antara anda yang cuba mengaitkan pengajaran berkesan dengan guru dan menyatakan guru itu adalah baik hati, bertimbang rasa, demokratik serta pandai berjenaka.

2.0 DEFINISI PENGAJARAN EFEKTIF

Menurut Thomas F. Green (1997) melalui bukunya The Activities of Teaching menulis bahawa pengajaran adalah proses menukar tingkah laku & kelakuan pelajar melalui perolehan ilmu pengetahuan atau kepercayaan baru. Dr Ragbir Kaur (2005) mendefinisikan pengajaran sebagai satu proses di mana kegiatan-kegiatan disusun untuk membawa perubahan tingkah laku pada diri murid-murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Maksud efektif pula jika dirujuk dalam Kamus Pelajar DBP Cetakan Kesebelas (1994) bermaksud sesuatu yang mendatangkan kesan atau hasil yang diharap-harapkan.

Pengajaran efektif merupakan pengajaran yang membolehkan pelajar menguasai kemahiran tertentu serta pengetahuan dan arah tuju. Pengajaran ini dilaksanakan dalam kumpulan kecil yang sama-sama berusaha untuk mencapai tujuan bersama dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan penyeliaan guru. Al-Ghabisi (2002).

Secara dasarnya pengajaran efektif merupakan aktiviti pengajaran yang melibatkan pendidikan yang terbaik bagi meningkatkan keinginan pelajar dalam pembelajaran dengan berbagai-bagai aktiviti pendidikan. Chris (1992).

Menurut Hunter (1969) dalam bukunya Teach More, Faster pengajaran yang berkesan ialah pengajaran yang dapat meningkatkan pembelajaran dalam diri murid-murid. Pembelajaran yang efektif berlaku dalam suasana yang sihat serta bersemangat.

Oleh itu, pengajaran efektif boleh ditakrifkan sebagai satu sistem aktiviti yang dapat meningkatkan lagi hasil pembelajaran terakhir yang dikehendaki di dalam suasana yang sihat, demokratik dan bersemangat. Hasil pembelajaran terakhir yang dimaksudkan ialah perubahan tingkah laku murid, akibat penerimaan pengetahuan atau kepercayaan baru. Ia juga merangkumi perkembangan seseorang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

3.0 CIRI-CIRI PENGAJARAN EFEKTIF

Pengajaran efektif akan memberi makna dan berfaedah serta mempunyai nilai yang kekal dan berterusan yang boleh diaplikasikan oleh seseorang pelajar bagi menempuh masa hadapan yang penuh cabaran. Khairi (1990). Untuk mengetahui sama ada wujudnya pengajaran afektif maka ciri-ciri di bawah haruslah di ambil perhatian.

3.1 Pengajaran itu sesuai bagi pelajar dari segi masa yang dikorbankan dan usaha yang dicurahkan.

Sesuatu pengajaran yang efektif seharusnya mengambil kira kesesuaian

masa seimbang dengan keadaan tahap kesediaan pelajar untuk melibatkan diri dalam proses pembelajaran. Kesesuaian masa bermaksud pengajaran yang dipersembahkan itu mengambil kira persediaan pelajar ketika itu untuk menerima pengajaran dan memulakan proses pembelajaran. Ia juga mengambil kira keupayaan pelajar untuk memikul bebanan pembelajaran dan kesesuaiannya. Mengikut Salvin (1994) salah satu daripada empat faktor yang mempengaruhi pengajaran berkesan ialah masa diperuntukkan untuk pengajaran (time of instruction). Oleh itu seseorang guru yang mahu menjadikan pengajarannya efektif haruslah merancang satu set pengajaran yang masanya bersesuaian dengan tahap keupayaan pelajar.

3.2 Matlamat jelas dan bermakna kepada pelajar.

Sesuatu pengajaran yang efektif itu semestinya mengandungi matlamat yang jelas dan bermakna di samping mempunyai hubungan yang releven dengan keperluan dan kecenderungan kepada pelajar berkenaan. Persembahan pengajaran tersebut hendaklah sesuatu yang sangat dirasakan perlu dan bererti bagi diri pelajar tersebut. Sebagai contoh pembelajaran bahasa Arab sangat penting bagi pelajar muslim bagi memudahkan memahami isi kandungan al- Quran dan hadis nabi yang mana kedua-duanya menggunakan bahasa arab.

Pembelajaran Pendidikan Islam misalnya dapat membantu memperkukuhkan akidah dan sahsiah pelajar beragama Islam khususnya. Apabila guru merancang pengajaran dengan saksama dengan mengambil kira apa perkara yang hendak dipesan atau apa nasihat yang akan diberi dan apa nilai yang hendak dtonjolkan supaya menjadi panduan kepada pelajar. Jika perkara ini berjalan pelajar akan merasakan bahawa mata pelajaran Pendidikan Islam dipelajarai bukan hanya untuk lulus peperiksaan sahaja malah ia dapat dihayati supaya setia pelajar dapat menjadi seorang muslim yang beramal dengan ajaran Islam dengan cara yang betul. Kepentingan-kepentingan yang terdapat dalam pembelajaran ini perlu dijelaskan oleh guru kepada pelajar. Semakin bermakna pembelajaran itu kepada pelajar semakin bertambah penerimaan dan minatnya terhadap pembelajaran itu.

3.3 Meninggalkan kesan kepada pelajar.

Sesuatu pengajaran yang efektif itu selalunya memberi kesan yang mendalam kepada pelajar dari segi minat dan pemahamannya. Perubahan tingkahlaku yang ditunjukkan pelajar seperti menunjukkan minat atau kesan ilmu yang dipelajari itu merupakan antara kesan yang boleh dilihat. An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar. Dengan cara ini pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama. Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.

3.4 Dilaksanakan dengan kebijaksanaan, kefahaman dan kesedaran guru.

Pengajaran efektif hendaklah dilaksanakan dengan mengambil kira kebijaksanaan, kefahaman dan kesedaran guru supaya ia boleh berjalan berterusan serta boleh diaplikasikan dalam suasana yang berbeza. Walaupun dilaksanakan pada bila-bila masa dan ketika namun dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar. Oleh itu guru hendaklah membuat persediaan rapi sebelum masuk ke kelas untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Ini termasuklah straegi pengajaran yang merangkumi Oleh itu, guru haruslah merancang dengan cukup rapi sebelum memasuki kelas. Ini termasuklah strategi pengajaran yang merangkumi isi kandungan, objektif yang hendak dicapai, pendekatan, kaedah dan teknik penyampaian, BBM yang sesuai dan penilaian yang akan dijalankan.

3.5 Berlaku persaingan di antara pelajar.

Sesuatu pengajaran itu boleh dikatakan efektif sekiranya wujud persaingan sesama pelajar dengan penglibatannya dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Seseorang guru yang dapat merancang pengajaran yang efektif akan melihat berlakunya proses pengajaran dua hala yang aktif di antara guru dan murid. Semakin aktif pelajar bersaing sesama mereka dalam aktiviti pembelajaran semakin wujudnya pengajaran dua hala. Pembelajaran berkualiti tinggi bermakna pelajar terlibat secara aktif, mempunyai pilihan terhadap cara mereka belajar dan mempunyai kawalan terhadap aspek yang dipelajari. Mengikut Ramsden (1992, hlm. 100), “Good teaching fosters this sense of student control over learning and interest in the subject matter”.

3.6 Dilaksanakan dengan sokongan guru.

Sesuatu pengajaran efektif hendaklah dilakukan dengan sokongan guru iaitu dengan memberikan insentif kepada pelajar berbanding hukuman. Guru boleh memberikan insentif berbentuk motivasi, pujian dan ganjaran. Insentif bermaksud keupayaan guru untuk memberi motivasi kepada pelajar untuk terus belajar dan menyiapkan kerja-kerja yang di beri oleh guru. Terdapat dua cara untuk guru memberikan motivasi kepada pelajar supaya terus belajar (Slavin, 1994). Pertama, guru perlu menyediakan pengajaran yang boleh menarik minat dan menyeronokkan pelajar dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pelbagai alat Bantu Mengajar (ABM). Kedua, guru boleh memberi insentif kepada pelajar dengan cara memberikan ganjaran atau pujian kepada pelajar yang dapat menguasai sesuatu kemahiran atau memberi dendaan kepada pelajar yang tidak dapat menguasai sesuatu kemahiran.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger

Great Morning ©  Copyright by MGC MERSING | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks