Info Terkini Portal Rasmi PPD Mersing

Khamis, 12 Julai 2012

PERHIMPUNAN PERDANA GURU CEMERLANG 2012




PETIKAN BERITA BERKAITAN PERHIMPUNAN PERDANA GURU CEMERLANG 2012:

Tumpu usaha lengkapkan kemampuan berfikir generasi masa depan
Oleh:


Tarikh: July 12, 2012
PUTRAJAYA - Bidang pendidikan negara perlu memberi perhatian kepada usaha membangunkan modal intelektual dalam negara, yang secara khususnya merujuk kepada usaha melengkapkan generasi masa depan dengan kemampuan berfikir di peringkat tertinggi iaitu tajam, mendalam, kreatif dan inovatif.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini penting kerana negara berhasrat melahirkan anak-anak bangsa bukan hanya untuk menikmati kemajuan hari ini semata-mata, tetapi untuk masa depan negara yang lebih gemilang.

Beliau berkata di masa hadapan generasi ini terpaksa mengisi pekerjaan yang mungkin masih belum wujud pada hari ini, dan cabaran yang dihadapi negara dalam soal ini ialah usaha mencari jalan bagaimana cara untuk menyediakan mereka dalam menghadapinya.

"Bagaimana nak sediakan mereka untuk pekerjaan yang belum wujud; jawapannya tak boleh sebab kita tidak tahu jenis pekerjaan yang belum wujud, cuma kita boleh sediakan mereka dari segi kemampuan berfikir... higher order of thinking skill ini," katanya semasa berucap di Majlis Perhimpunan Perdana Guru Cemerlang 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

"Ini supaya mereka boleh fikir bukan sahaja dengan tajam dan mendalam, tapi juga cukup kreatif dan inovatif, supaya mereka ada keanjalan untuk melakukan adaptasi dalam apa jua situasi bakal wujud nanti," tambahnya.

Perdana Menteri berkata di sinilah guru cemerlang yang merupakan ikon komuniti pendidikan memainkan peranan kerana mereka tahu mengenai cara untuk menguruskan proses pembelajaran dan pengajaran, bagi menyuntik motivasi di kalangan pelajar di samping mencetuskan idea baru di bidang pendidikan.

Beliau seterusnya berkata modal insan perlu dibangunkan dalam negara kerana ia adalah petunjuk utama yang akan digunakan oleh pelabur asing dalam menentukan keputusannya sama ada untuk menanam modal dalam negara atau sebaliknya.

Guru Cemerlang merujuk kepada guru yang diiktiraf mempunyai pengetahuan, kemahiran serta kepakaran yang tinggi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran; dan kenaikan pangkat buat Guru Cemerlang diperkenalkan mulai 1993 untuk memberikan peluang kenaikan pangkat lebih baik bagi mereka tanpa memerlukan mereka meninggalkan tugas mengajar.

Najib berkata jumlah guru cemerlang dalam negara ketika ini mencecah 13,000 orang, dengan 36 sudah berpangkat JUSA C.

Perhimpunan 1,500 orang guru cemerlang hari ini merupakan agenda nasional yang dirancang Biro Tatanegara (BTN) dengan kerjasama Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) serta Majlis Guru Cemerlang Malaysia (MGCM) bagi menyatukan gagasan pemikiran guru cemerlang agar seiring dengan agenda transformasi pendidikan negara ke arah meningkatkan kualiti pendidikan. - Bernama



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger

Great Morning ©  Copyright by MGC MERSING | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks