Merujuk kepada muka hadapan akhbar berita harian bertarikh 15 Disember 2008 yang bertajuk Rombakan Subjek Akademik, kerajaan melalui kementerian pelajaran bersetuju untuk membuat transformasi pendidikan pada peringkat sekolah rendah iaitu dengan menggugurkan beberapa subjek dan memperkenalkan beberapa subjek baru yang memberi penekanan terhadap latihan amali selaras dengan transformasi sistem pendidikan yang akan dilaksanakan mulai 2010. Mengikut apa yang dinyatakan oleh KP Pelajaran pengenalan subjek baru ini yang lebih bersifat praktikal bertujuan untuk menilai kebolehan pelajar secara menyeluruh, adil dan tidak hanya bergantung kepada peperiksaan semata-mata.
Secara peribadi, transformasi sebegini amatlah diperlukan dalam sistem pendidikan negara ini. Kamus Dewan Edisi Ketiga memberikan maksud transformasi sebagai perubahan bentuk (sifat, rupa atau keadaan). Maka dengan ini, sistem pendidikan negara kita sememangnya perlu diubah bagi memastikan pembangunan insan seimbang dapat dilaksanakan. Perkara ini (pembangunan seimbang) bukanlah perkara baru kepada sistem pendidikan negara tetapi sebelum ini perkara ini hanyalah teori di atas kertas semata-mata kerana perkara ini sudah lama tertulis dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang termaktud dalam Akta Pendidikan 1996 yang menyebut “Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani...”.
Jelas pada ayat tersebut menunjukkan pendidikan di negara ini bertujuan untuk melahirkan insan seimbang. Tetapi silapnya ialah pelaksanaanya adalah tidak menyeluruh kerana sistem pendidikan sekarang dilihat lebih menekankan peperiksaan iaitu akademik atau intelek semata-mata. Masakan tidak, sistem pendidikan sekarang yang terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan bilangan ‘A’ menjadi keutamaan, pencapaian CGPA menjadi ukuran. Memang tidak dinafikan ‘A’ dan CGPA merupakan terjemahan kepada kefahaman pelajaran, namun penghayatan yang membawa kepada pengaplikasian dalam kehidupan sebenar kurang diambil kira kepada markah tersebut. Oleh sebab itulah, tidak menghairankan apabila sesetengan pihak mendakwa ‘tahu belajar, tapi tak tahu kerja’. Oleh sebab itu juga, saya merasakan tindakan menerapkan dan menilai ‘soft skills’ pada peringkat universiti merupakan satu tindakan terlambat dan lebih kepada tindakan terdesak untuk melahirkan graduan yang berkebolehan. Namun ia sebenarnya bagus dan lebih bagus apabila ia diterapkan lebih awal sebagai mana yang diobjektifkan dalam transformasi pendidikan sebagai mana dilaporkan di atas.
Selain itu, juga menjadi kesan apabila penilaian berasaskan peperiksaan semata-mata ialah penghayatan subjek-subjek seperti sejarah, moral, agama Islam dan lain-lain yang seolah-olah kata orang hanya sebagai ‘cukup syarat’ atau ‘belajar untuk exam’ sahaja. Ini amat mendukacitakan kerana semua mata pelajaran adalah amat penting. Sebagai contoh, apabila sejarah tidak lagi diingati semangat patriotik akan pudar, agama dan moral tidak dihayati gejala sosial akan menular, begitu juga subjek major tidak dikuasai susah di dunia sebenar!
Apapun, diucapkan syabas kepada kementerian pelajaran atas transformasi pendidikan yang ingin dilakukan dan semoga perkara ini akan memantapkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan menjadikan sistem pendidikan di negara ini akan terus mantap dari semasa ke semasa. “Pendidikan Seimbang, Insan Cemerlang, Negara Terbilang”!
(Dipetik dari : http://sosiologi-ku.blogspot.com/2008/12/merujuk-kepada-muka-hadapan-akhbar.html)
NKRA
Info Terkini Portal Rasmi PPD Mersing
Ahad, 19 April 2009
Transformasi Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan